Friday, August 12, 2011

Gara-gara BERSIH 2.0, Imam masjid bertauliah digantung tugas


KAMPUNG LADANG, 10 OGOS : Seorang imam di kawasan Gelang Patah telah di'gantung' penjawatannya oleh Majlis Agama Islam, Jabatan Agama Johor (JAJ) gara-gara agenda politik sempit kerajaan negeri. Penggantungan itu dibuat setelah JAJ menghantar utusan melalui pejabat Kadi Daerah Johor Bahru kepada Imam Hassan bin Md Said, Imam 1, Masjid Kampung Ladang, Gelang Patah, mengenai penggantungan tersebut.

Tekanan yang diberikan kepada beliau bermula apabila beliau disyaki menyertai perhimpunan aman menuntut pilihanraya yang dijalankan secara adil oleh gabungan BERSIH. Tiga orang pegawai polis dari cawangan khas berkunjung ke kediaman beliau untuk menyiasat penyertaan Imam Hassan di dalam perhimpunan aman tersebut dengan menanyakan beberapa soalan bersifat provokatif.

Baru-baru ini Imam Hassan telah menduduki ujian saringan secara bertulis dan lisan untuk mendapatkan tauliah sebagai Pegawai Amil Zakat Fitrah bagi penduduk Kampung Ladang, Gelang Patah dan kawasan sekitarnya. Selepas kedua-dua ujian itu lulus, namanya telah disenarai pendek oleh JAJ untuk menerima surat pentauliahanya yang dijadualkan tiba sebelum menjelang bulan Ramadhan.

Namun, sewaktu beliau ingin mengambil tauliah tersebut pada masa yang telah ditetapkan, pegawai JAJ yang bertugas menyatakan penangguhan pemberian tauliah kepada beliau dan terpapar dalam senarai nama penerima tauliah bahawa namanya telah ditandakan merah.

Selain itu, elaun yang diterima oleh beliau sebagai imam dari Persatuan Nelayan Kampung Gelang Patah yang bernilai RM 350.00 juga telah dibekukan.

Surat penggantungan dari menjadi Imam Masjid Kampung Gelang Patah yang diterima olehnya melalui pegawai JAJ yang hadir terus kerumahnya tanpa sebarang penjelasan menjadi titik noktah kepada semua persoalan yang berlaku dalam tempoh terdekat di dalam benaknya.

Penggantungan beliau disifatkan sebagai zalim dan berbaur politik kerana jika merujuk kepada surat penggantungan tersebut yang bertarikh 2 Ogos 2011, alasan terhadap penggantungan beliau adalah kabur. Menurut kenyataan ketua kampung dan pengerusi masjid secara peribadi, penggantungannya disabitkan dengan penglibatannya di dalam Perhimpunan Menuntut Pilihan Raya Bersih (BERSIH 2.0).

Ironinya, penggantungan dan tekanan ke atas beliau dan keluarga dibuat secara tersusun dan drastik disertai beberapa pihak yang terlibat seperti Persatuan Nelayan Kg. Ladang dan JAJ.

Tambahan pula, kenyataan bertulis dalam surat tersebut langsung tidak menyatakan bentuk kesalahan yang telah dilanggar oleh Imam Hassan yang telah berjasa selama 14 tahun dan merupakan satu-satunya imam yang bertauliah di Kampung Ladang, Gelang Patah.

Kesan dari penggantungan tersebut menyebabkan penduduk kampung sukar untuk mencari imam yang bakal menggantikan Imam Hassan dan imam sementara yang ditugaskan oleh JAJ tidak dapat memberikan komitmen sepenuhnya di Masjid Kampung Ladang. Elaun sebagai Imam juga bakal ditarik serta merta atas penggantungnya.

Terang lagi bersuluh bahawa beliau tidak mungkin boleh digantung jawatannya kerana tiada sebab yang boleh menjatuhkan hukuman ke atasnya, walaupun beliau dituduh menyertai perhimpunan BERSIH dan beliau ditangkap pada hari kejadian.

Penangkapanya tidak sah kerana menurut pegawai polis yang menangkap Imam Hassan, beliau ditangkap hanya kerana memasuki Kuala Lumpur dan tangkapan dibuat pada kira-kira jam 11.00 pagi sedangkan perhimpunan tersebut bermula pada jam 2.00 petang.

Ketempangan dalam sistem politik kerajaan negeri terserlah apabila Imam Hassan digantung atas dasar politik dengan menyertai BERSIH 2.0 walaupun tiada sebarang bentuk pendakwaan dari pihak polis mahupun mahkamah pada waktu tersebut.

Penggantungan beliau menjadi topik hangat di kalangan penduduk kampung yang rata-rata tidak berpuas hati dengan tindakan pihak JAJ. Hal ini kerana Imam Hassan amat dikenali dengan ketokohan dan kesederhanaannya.

Lebih menyayat hati apabila kunjungan Tuan Hj. Dzulkefly Bin Ahmad, Penyelia Pusat Aduan Rakyat Gelang Patah bersama pimpinan Parti Islam Se-Malaysia (PAS) Kawasan Gelang Patah dimaklumkan bahawa semua mata pencarianya hasil dari komitmennya menjadi seorang imam hilang begitu sahaja.

Menurut Tuan Hj. Dzulkefly Bin Ahmad, “Tindakan UMNO kini adalah ibarat meludah ke langit dengan telah mempolitikkan institusi ibadah yang mana telah ditegah oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan Raja Dr Nazrin Shah, Raja Muda Perak”.

Imam Hassan dan isterinya yang mempunyai 4 orang anak sangat terkesan dengan kehilangan semua mata pencarian di dalam membuat persiapan di bulan Ramadhan Al-Mubarak serta bakal menyambut kedatangan Syawal tidak lama lagi. Melalui riak wajah beliau jelas menunjukkan beliau sekeluarga berada di dalam tekanan.

Ramai penduduk kampung yang menzahirkan rasa simpati kepadanya dan mengharapkan beliau dapat terus menjadi ketua dalam urusan penghayatan Islam di kampung berkenaan dan imam di masjid.

0 comments:

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More