GELANG PATAH, 15 Ogos: Sempena bulan Ramadan Al-Mubarak ini, PAS kawasan Gelang Patah meneruskan tradisi menyampaikan sumbangan kepada penduduk setempat yang kurang bernasib baik. Lawatan sekitar Taman Teratai, Johor diketuai oleh YDP PAS kawasan Gelang Patah, Tuan Hj. Dzulkefly bin Ahmad diiringi ahli Dewan Pemuda dan Dewan Muslimat PAS kawasan Gelang Patah.
Matlamat utama PAS kawasan Gelang Patah mengadakan Program Sumbangan Ramadhan bersama masyarakat setempat ini adalah untuk membantu meringankan bebanan yang ditanggung oleh masyarakat sekitar selain meraih keberkatan Ramadhan dengan mengamalkan budaya bersedekah.
Dalam lawatan tersebut, sebanyak sepuluh buah rumah telah dikunjungi oleh YDP PAS kawasan Gelang Patah. Kebanyakan penduduk yang dikunjungi adalah ibu tunggal dengan tanggungan yang ramai serta berpendapatan kecil. Sebahagian yang lain pula merupakan warga emas dan OKU yang sudah hilang keupayaan untuk mencari pendapatan.
Dengan sumber pendapatan bulanan yang tidak tetap, mereka hanya mengharapkan bantuan dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM). Ada juga di antara mereka yang sudah tidak mampu untuk bekerja disebabkan keuzuran, hanya mengharapkan belas kasihan anak-anak mereka memberikan bantuan kewangan.
Memandangkan Ramadhan sudah menghampiri ke akhir fasa, sudah pasti setiap dari mereka juga ingin membuat sedikit persiapan untuk Hari Raya Aidilfitri yang bakal menjelang. Simpati atas nasib yang ditanggung oleh golongan ini, PAS kawasan Gelang Patah terpanggil untuk turun melihat dan membantu, mudah-mudahan dengan sumbangan yang diberikan ini dapat mengurangkan beban mereka.
Usaha ini selari dengan matlamat PAS menuju Ke Arah Negara Berkebajikan. Semoga dengan aktiviti begini akan merapatkan lagi hubungan PAS kawasan Gelang Patah dengan masyarakat tempatan.
0 comments:
Post a Comment