Thursday, July 29, 2010

Jujurkah Kerajaan Johor & Iskandar Investment Berhad (IIB) Menolong Penduduk Kg. Pendas Laut?

Baru-baru ini penduduk Kg. Pendas Laut telah ditawarkan penempatan semula di Kg. Ladang. Diberitakan daripada 120 keluarga di Kg. Pendas Laut yang dibanci oleh Jawatankuasa Bertindak, hanya 60 keluarga sahaja yang memperoleh rumah di penempatan semula dengan 12 rumah diperuntukkan untuk tujuan ‘homestay’ yang akan diuruskan oleh penduduk penempatan semula. Beberapa persoalan timbul apabila kita membaca “MOU” antara penduduk Kg. Pendas Laut dan Perbadanan Setiausaha Kerajaan Johor (SSI).

Antara persoalan pokok adalah pihak kerajaan dalam beberapa siri perundingan dengan penduduk sebelum ini menyatakan bahawa penempatan semula akan dijual kepada penduduk Kg. Pendas Laut yang berjaya.

Antara kaedah yang berkemungkinan digunakan adalah “SEWA-BELI” yang mana sewa yang dibayar sebanyak RM150 sebulan akan dianggap sebagai sebahagian ansuran harga rumah penempatan semula. Konsep “SEWA-BELI” diperkenalkan bagi mengelakkan daripada penduduk menjual rumah di penempatan semula kepada pihak lain bagi mendapat keuntungan segera sepertimana yang dilakukan oleh penerima rumah penempatan semula Rancangan Felcra Tebing Runtuh di Nusa Perintis 3, Gelang Patah. Apa yang mengecewakan ialah dalam syarat-syarat MOU tidak langsung disebut tentang konsep “SEWA-BELI”. Ini bermakna status penduduk penempatan semula ini adalah sebagai penyewa semata-mata yang bila-bila masa boleh diperintahkan keluar oleh tuannya. Buktinya:
1) Bayaran bulanan RM150 adalah merupakan “YURAN PENGURUSAN” dan bukannya sebagai bayaran ansuran pembelian rumah.
2) Penduduk hanya diberikan “SIJIL KELAYAKAN MENDUDUKI (SKM)” dan bukannya hakmilik dan SKM tidak boleh dipindahmilik, digadai, dipajak, diberi hak kepada orang lain dengan apa cara sekalipun.
3) Penduduk tidak dibenarkan membuat pengubahsuaian kecuali mendapat kelulusan bertulis daripada Kerajaan Negeri.
4) Sekiranya penduduk melanggar mana-mana terma dan syarat-syarat yang terkandung dalam MOU tersebut, maka penduduk akan dilucutkan hak secara automatik untuk menduduki rumah tersebut.

Bersama ini di lampirkan contoh MOU untuk penelitian anda. Apa yang PAR Zon Nusajaya bimbang adalah MOU ini diadakan bagi memastikan penduduk Kg. Pendas Laut segera mengosongkan kampung mereka bagi memberi laluan kepada pembangunan. Apakah nasib mereka selepas ini tiada siapa yang tahu. Jika umur panjang, sama-samalah kita lihat kesudahannya
Ini sebahagian daripada episod-episod malang yang menimpa tuantanah Melayu/Bumiputera di Iskandar Malaysia (IM). Saya baru sahaja balik daripada melawat Hong Kong dan Shenzen, China yang menjadi kiblat kepada IM. Saya sangat cemburu apabila diberitahu majoriti penduduk asal Shenzen yang merupakan nelayan dan petani sebelum 1980, sekarang ini menjadi jutawan dan hidup senang-lenang. Tetapi tuantanah Melayu/Bumiputera di Iskandar Malaysia sebaliknya masih susah walaupun tanah telah diambil oleh kerajaan. Kita hanya meniru konsep pembangunan Shenzen secara “HARDWARE”nya sahaja tetapi tidak “SOFTWARE”nya. Berapa ramai lagi tuantanah Melayu/Bumiputera di Iskandar Malaysia (IM) yang akan dikorbankan atas nama pembangunan di masa hadapan??
(Renungan : Nilai Pasaran Tanah Kg. Pendas Laut sekarang adalah lebih kurang RM10 sekaki persegi @ RM435,600 seekar sedangkan pampasan yang dibayar kerajaan kepada mereka semasa diambil balik hanyalah 80 sen sekaki persegi @ RM35,000 seekar!!)





Tuesday, July 27, 2010

Benarkah Kewangan Kerajaan Johor & Johor Corporation (JCORP) Kukuh?





Malam Kesenian Islam

Penyelia PAR Zon Nusajaya yang juga merupakan Ahli Panel Penasihat Persatuan Wanita Perihatin Daerah Johor Bahru (PERWANIN) telah menghadiri program “Malam Kesenian Islam” yang julung-julung kali diadakan oleh PERWANIN di Dewan Serbaguna Taman Universiti pada Sabtu 7hb Julai 2010 yang lalu. Tetamu pada malam itu adalah mantan penyanyi utama kumpulan Raihan iaitu Ustaz Nazery Johani dan kumpulan SATNA. Majlis juga dimeriahkan dengan deklamasi sajak oleh Amnii Jagat tentang Palestin. Pada malam itu, di samping menikmati hiburan bercorak Islam, perlancaran Tabung Palestine juga diadakan. Program yang diadakan mendapat sambutan yang sangat mengalakkan khususnya di kalangan remaja. Semoga program “Malam Kesenian Islam” anjuran PERWANIN ini akan dapat diteruskan di masa hadapan.

Kes 11: Kaki Siapakah Ini?

Kaki ini adalah milik SP Suppayah yang telah mengalami kecederaan teruk apabila didakwa dipukul 23 kali dengan getah kabel elektrik oleh Warden Penjara Jalan Ayer Molek pada 3.45 petang 1hb. Julai 2010 yang lalu. Sebab kenapa beliau dipukul tidak diketahui.

Walaupun SP Suppayah telah mengaku salah di hadapan mahkamah kerana mencederakan isteri, CM Premma dan dijatuhkan hukuman denda RM1,000 atau 7 hari penjara jika tidak membayar denda. Setelah hukuman dijatuhkan, mahkamah memberi tempoh sehingga jam 4 petang untuk membayar denda. Apabila isterinya, CM Premma tiba pada pukul 3.45 petang untuk membuat bayaran, beliau telahpun dipindahkan dari lokap mahkamah ke Penjara Jalan Ayer Molek. Setibanya SP Suppayah di penjara, dia dibawa masuk oleh dua anggota penjara lelaki yang memakai baju seperti askar membawanya ke satu bilik dan menyuruhnya menanggalkan pakaiannya. Kedua-dua individu tersebut kemudiannya bertindak memukulnya menggunakan getah kabel elektrik sebanyak 23 kali sejurus beliau berbogel. Beliau merayu supaya jangan dipukul kerana beliau menghidap penyakit kencing manis. Selepas dipukul beliau dihamburkan dengan kata-kata kesat sebelum disuruh memakai pakaian semula.

Selepas dibebaskan keesokan harinya, SP Suppayah telah membuat laporan polis dan membuat pemeriksaan di Hospital Sultanah Aminah. Hasil pemeriksaan mendapati tulang kakinya retak dan perlu bercuti selama sebulan untuk rawatan. Beliau yang bertugas sebagai Pengawal Keselamatan tidak dapat bertugas akibat keceraan tersebut. Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Zainuddin Yaacob mengesahkan pihaknya ada menerima laporan polis tersebut.

Puat Aduan Rakyat (PAR) Zon Nusajaya telah membuat satu sidang akhbar pada Selasa, 13 Julai, 2010 dan berita tersebut telah disiarkan di dalam akhbar Sinar Harian dan Sin Chew Daily.

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More