Thursday, August 25, 2011

Yang Susah Dijejaki, Bantuan Diberi

GELANG PATAH, 21 OGOS: Kesibukan mengharungi fasa ketiga Ramadhan dan Syawal 1432H yang akan tiba, PAS kawasan Gelang Patah meneruskan perjalanan menjejaki golongan yang memerlukan bantuan.

Delegasi Program Sumbangan Ramadhan ini berjalan di sekitar Kampung Ladang dengan diketuai oleh Ustaz Zaifiddin bin Isa, Ketua Pemuda PAS kawasan Gelang Patah, dan Sabariah binti Mohd Amin, Ketua Dewan Muslimat PAS kawasan Gelang Patah, diiringi oleh beberapa orang ahli Dewan Pemuda dan Dewan Muslimat PAS kawasan Gelang Patah yang lain.

Dalam kunjungan tersebut, 16 buah rumah telah dilawati. Setiap rumah tersebut mempunyai latar belakang keluarga yang berbeza. Kebanyakan penduduk yang ditemui merupakan warga emas yang sudah tidak mampu untuk menguruskan diri mereka sendiri, malah sangat bergantung pada ihsan orang lain.

Turut ditemui adalah golongan ibu tunggal yang hidupnya ibarat kais pagi makan pagi, kais petang makan petang, bertungkus lumus bekerja bagi mencari sesuap nasi untuk anak-anak. Selain itu, PAS kawasan Gelang Patah turut menziarahi sepasang adik-beradik yang telah hilang tempat bergantung setelah ditinggalkan ibu mereka. Adik-beradik ini hanya mengharapkan bantuan jiran tetangga bagi menguruskan keperluan harian mereka.

Prihatin atas keperitan hidup yang dilalui oleh mereka yang memerlukan bantuan, PAS kawasan Gelang Patah mengambil inisiatif untuk turun padang menyantuni golongan ini. Bagi meringankan sedikit beban yang ditanggung, PAS kawasan Gelang Patah turut memberikan sumbangan makanan asasi beserta sumbangan wang zakat kepada mereka yang layak untuk menerimanya.

Program tradisi ini akan sentiasa diteruskan sebagai satu usaha PAS mendekati masyarakat dengan melihat sendiri keperitan hidup yang dilalui. Sumbangan yang dihulurkan diharap dapat meringankan beban penduduk yang kurang bernasib baik agar turut sama dapat mengharungi baki Ramadhan dan Syawal yang bakal menjelma seperti penduduk lain.

0 comments:

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More