Friday, December 30, 2011

Pembahagian Kerusi DAP-PKR Johor Belum Selesai


JOHOR BAHARU, 29 Dis (Bernama) -- Perbincangan mengenai pembahagian kerusi yang akan ditandingi oleh Parti Keadilan Rakyat dan DAP di Johor pada pilihan raya umum ke-13 belum selesai.

Pengerusi PKR Johor Datuk Chua Jui Meng ketika dihubungi Bernama hari ini bagaimanapun menafikan hubungan parti itu dengan DAP, rakannya dalam pakatan pembangkang, berada dalam keadaan tegang berikutan isu pembahagian kerusi antara kedua-dua parti itu.

"Biasalah, dia (DAP Johor) mahukan kerusi saya (PKR Johor) dan saya pula mahukan kerusi dia. Perbincangan masih berjalan, apabila pemimpin pusat membuat keputusan, kita semua kena akur. Itu adalah disiplin parti," katanya.

Bekas menteri kesihatan itu berkata, secara amnya bilangan kerusi yang akan ditandingi oleh PKR Johor pada pilihan raya akan datang ini adalah sama seperti mana pada pilihan raya umum pada 2008.

Satu daripada kerusi yang kini dikatakan menjadi "rebutan" antara PKR dan DAP Johor adalah kerusi Parlimen Gelang Patah yang kini disandang oleh Tan Ah Heng daripada Barisan Nasional (BN).

Pada pilihan raya umum 2008 dan 2004, kerusi itu ditandingi oleh calon PKR, namun kali ini terdapat petanda bahawa DAP mahukan kerusi itu kerana alasan calonnya mempunyai peluang lebih tinggi berbanding PKR untuk merampas kerusi itu daripada BN.

Keyakinan DAP itu adalah bersandarkan kepada faktor bahawa satu daripada kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam kawasan Parlimen Gelang Patah iaitu Skudai kini disandang oleh Pengerusi DAP Johor Dr Boo Cheng Hau.

Dr Boo, menurut DAP Johor, merupakan seorang yang popular dalam kalangan penduduk tempatan dan memiliki rekod perkhidmatan yang cemerlang.

Satu lagi kerusi negeri adalah Nusajaya yang menempatkan pusat pentadbiran kerajaan negeri.

Bagaimanapun, Chua berkata walaupun DAP yakin untuk merampas kerusi itu Patah daripada BN, sokongan rakyat terhadap calon tertentu pada pilihan raya umum merupakan sesuatu yang sukar dibaca.

"Tidak ada orang yang dapat membaca sentimen rakyat pada pilihan raya," katanya sambil menjelaskan bahawa pada ketika ini calon untuk kerusi Parlimen Gelang Patah belum diputuskan oleh kepimpinan pakatan pembangkang pusat.

Ditanya spekulasi bahawa beliau akan bertanding di situ, Chua hanya berkata, beliau juga diperkatakan akan bertanding di beberapa kawasan lain.

Selain Gelang Patah, DAP dan PKR Johor dipercayai turut mahu bertanding bagi kerusi DUN Johor Jaya yang kini disandang oleh Tan Cher Puk daripada MCA.

Pada pilihan raya umum lepas, lawan Tan bagi kerusi itu ialah calon daripada Parti Rakyat Malaysia.

Mengenai peluang pakatan pembangkang di Johor pada pilihan raya umum ke-13 nanti, Chua berkata, mereka mempunyai peluang yang baik untuk mencipta sejarah di Johor dan memenangi sekurang-kurangnya 29 kerusi DUN untuk membentuk kerajaan negeri.

Sumber: BERNAMA

Thursday, December 29, 2011

Pembahagian Kerusi PAS di Johor Selesai



28 Dis 2011, JOHOR BAHARU: PAS negeri Johor memutuskan untuk mengurangkan bilangan kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) dan Parlimen yang akan ditandinginya pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13).
Timbalan Pesuruhjaya PAS Johor Dzulkefly Ahmad berkata, mereka “menyerahkan” lebihan kerusi yang pernah ditandingi pada PRU 2008 kepada DAP dan PKR.
“Kesemua kerusi Dun dan Parlimen di Johor yang diserahkan PAS kepada DAP dan PKR itu merupakan kawasan campuran berdasarkan kedua-dua parti itu mempunyai kekuatan di kawasan terbabit,” katanya kepada Bernama, hari ini.
Katanya, PAS Johor membuat keputusan untuk bertanding di lapan kawasan Parlimen dan 28 kawasan Dun pada PRU-13, berbanding sembilan Parlimen dan 33 Dun pada PRU 2008.
Menurut Dzulkefly, pada 2008 PAS Johor bertanding di banyak kawasan kerana menyedari PKR Johor pada ketika itu tidak mempunyai kekuatan dan disebabkan kerana enggan memberi kemenangan percuma kepada Barisan Nasional (BN).
Pada PRU 2008, PAS Johor memenangi dua kerusi Dun iaitu di Maharani dan Sungai Abong.
Mengenai peluang PAS Johor pada PRU-13, Dzulkefly meramalkan dengan suasana politik negara pada ketika ini yang memberi kelebihan kepada Pakatan Rakyat, ia mampu membuat kejutan dengan “memecah kubu BN” di Johor.
“Kita berkeyakinan jika ‘gelanggang pertandingan adalah sama rata,’ Pakatan Rakyat Johor mampu memenangi sekurang-kurangnya 29 kerusi Dun untuk memperolehi majoriti mudah bagi membentuk kerajaan negeri,” katanya.
Johor yang merupakan kubu kuat BN mempunyai 26 kerusi Parlimen dan 56 kerusi Dun.
Kata beliau, senarai calon-calon PAS Johor yang akan bertanding pada PRU-13 telah pun siap, tetapi ia perlu diperakui oleh kepimpinan parti pada peringkat pusat.
Sumber: BERNAMA

Tuesday, December 27, 2011

SPRM siasat rasuah, seleweng kontrak Iskandar?


KUALA LUMPUR 26 Dis. - Sebuah syarikat pemaju yang terlibat dalam projek mega membangunkan Iskandar Malaysia, Johor sedang disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung dakwaan wujudnya unsur rasuah dalam projek yang bernilai bilion ringgit itu.

Siasatan terhadap syarikat itu dibuat kerana dipercayai berlaku unsur penyelewengan dalam perolehan kontrak dan beberapa projek yang dipertanggungjawabkan kepada syarikat berkenaan.

Utusan Malaysia difahamkan penyelewengan tersebut turut melibatkan orang tengah yang bertanggungjawab mendapatkan beberapa projek untuk syarikat itu.

Syarikat yang disiasat itu bertanggungjawab membangunkan pelbagai projek besar dalam Iskandar Malaysia antaranya pembinaan infrastruktur, pusat pendidikan, kawasan perumahan, jalan, lebuh raya serta pusat riadah yang bernilai ratusan bilion ringgit.

Antara projek itu adalah pakej 3B iaitu membina dan menyiapkan persimpangan Jalan Abu Bakar bernilai RM124 juta, pembangunan Sekolah Berasrama Penuh di Sebahagian Lot PTD Mukim Pulai bernilai RM40.8 juta serta jalan alternatif Kampung Sungai Pendas Laut bernilai RM2.7 juta.

Difahamkan, SPRM sudah menyiasat beberapa projek yang disyaki berlaku penyelewengan dan rasuah itu sejak tahun lalu.

SPRM juga dikatakan telah membuat serbuan ke atas ibu pejabat syarikat tersebut serta beberapa syarikat di sekitar Johor Bahru dan Kuala Lumpur.

Utusan Malaysia difahamkan, kajian ke atas dokumen-dokumen yang berkaitan kes itu telah dijalankan serta beberapa saksi dipercayai telah dipanggil untuk membantu siasatan.

Malah, seorang lelaki berusia lingkungan 50-an yang merupakan orang tengah projek mega berkenaan akan didakwa di Mahkamah Sesyen Johor Bahru, Johor pagi esok.

Sementara itu, Pengarah Siasatan dan Operasi Khas SPRM, Datuk Mohd. Jamidan Abdullah ketika dihubungi Utusan Malaysia hari ini mengesahkan pihaknya sedang menyiasat syarikat tersebut, namun beliau enggan mengulas lanjut.

Iskandar Malaysia yang fasa pembangunannya sehingga tahun 2025 akan menjadi sebuah pusat pertumbuhan terbesar rantau ini dengan keluasannya dua setengah kali ganda Singapura.

Sumber: www.nusajayakini.com

Thursday, December 22, 2011

J-CORP bakal ambilalih QSR dan KFCH?


JOHOR BAHRU, 21 Disember 2011 – Badan Perhubungan PAS Negeri Johor mengambil inisiatif yang proaktif dengan mengadakan sidang akhbar berkenaan isu cadangan pengambilalihan QSR dan KFCH oleh Johor Corporation (J-CORP) semalam. 

Timbalan pesuruhjaya PAS negeri Johor, Tuan Haji Dzulkefly Bin Ahmad membentangkan secara jelas dan terperinci kesungguhan cadangan J-CORP dalam pengambilalihan QSR dan KFCH yang mana tawaran tersebut akan berakhir pada 21 Disember 2011, hari ini.

Beliau menyatakan bahawa J-CORP pada 14 Disember 2011 yang lalu, melalui sebuah syarikat khas (SPV), Massive Equity Sdn. Bhd. (MESB) telah mengemukakan tawaran kepada Lembaga Pengarah QSR Brands Berhad dan KFC Holdings Bhd. Untuk mengambilalih keseluruhan perniagaan termasuk semua aset serta liabiliti kedua-dua syarikat tersebut.

J-CORP kini memiliki 51% saham dalam MESB manakala 49% saham dimiliki oleh CVC Capital Partner Asia Pasific (GVC), sebuah firma ekuiti persendirian antarabangsa. Sehingga kini J-CORP juga memiliki 53% saham dalam Kulim Bhd. manakala Kulim Bhd. Memiliki 57.5% saham dalam QSR Brands Bhd. QSR pula memiliki 50.6% saham dalam KFCH.

Menurutnya lagi, pengambilalihan ini akan dibiayai menerusi gabungan antara ekuiti, pinjaman dan beberapa instrumen pembiayaan lain yang bakal dicadangkan kelak. 

Lebih membimbangkan lagi, sekiranya pengambilalihan ini berjaya, maka QSR dan KFCH akan dikeluarkan daripada senarai Bursa Saham Kuala Lumpur dan akan diubah status nya menjadi ‘syarikat persendirian’.

Dalam sidang akbar yang sama, Tuan Haji Dzulkefly juga menyatakan dengan tegas bahawa PAS negeri Johor ingin mengemukakan tujuh persoalan yang penting berkaitan dengan pengambilalihan QSR dan KFCH oleh J-CORP.

1. Apakah justifikasi proses pengambilalihan yang melibatkan kos RM5.2 bilion sedangkan J-CORP perlu menebus bayar bon yang akan matang pada 31 Julai 2012 berjumlah RM3.58 bilion. Kenyataan akhbar juga menyatakan J-CORP kan menerbitkan bon baru berjumlah RM2.5 bilion bagi tujuan yang sama. Persoalannya, tidakkah proses pengambilalihan ini akan menambah lagi hutang J-CORP?

2. Mengapakah proses pengambilalihan dilakukan melalui penswastaan atau mengguanakan pihak ketiga iaitu Massive Equity Sdn. Bhd. (MESB)?

3. Apakah sebenarnya agenda Massive Equity Sdn. Bhd. (MESB) mengeluarkan QSR dan KFCH dari senarai BSKL dengan menjadikan statusnya ‘syarikat persendirian’?Adakah MESB cuba untuk mengelak daripada terikat dengan peraturan Suruhanjaya Security (SC)?

4. Apakah jaminan yang boleh diberikan oleh J-CORP bahawa saham QSR dan KFCH tidak akan terjejas kepada bukan Bumiputera?

5. Amalan biasa J-CORP bagi menyelesaikan hutangnya adalah dengan menjual aset –asetnya seperti penjualan Menara Pejabat Kotaraya dengan 100 tempat letak kereta berharga RM27 juta dan penjualan 13,687 hektar ladang kelapa sawit kepada Kulim Bhd. pada harga RM700 juta. Dengan pertambahan hutang RM5.2 bilion, maka ini akan memaksa J-CORP menjual lebih banyak aset –asetnya bagi tujuan membayar hutang.

6. Kemungkinan juga saham QSR dan KFCH akan dijual bagi membayar hutang J-CORP. Sekiranya keadaan ini terjadi, maka sebenarnya siapakah yang akan membeli saham-saham QSR dan KFCH? Siapakah sebenarnya yang akan mengaut keuntungan, samada J-CORP atau pihaak ketiga iaitu CVC?

7. Apakah juustifikasi kenyataan J-CORP yang menyatakan pengambilalihan tersebut akan menjadikan J-CORP mempunyai wang secukupnya bukan sahaja untuk menjelaskan hutang tetepi juga menjana pulangan secara langsung? Bukankah kenyataan ini membayangkan bahawa kemungkinan saham QSR dan KFCH akan dijual kepada pihak lain?

Kesemua persoalan di atas katanya, perlu dijelaskan oleh J-CORP kepada rakyat Johor kerana J-CORP adalah milik kerajaan Johor dan rakyat Johor.

“Saya cabar Dato’ Ghani Othman, selaku Menteri Besar negeri Johor untuk menjelaskan kepada rakyat bahawa pengambilalihan QSR dan KFCH ini tidak melibatkan kepentingan individu khususnya UMNO dan Barisan Nasional serta tidak menggadai J-CORP kepada bukan bumiputera yang lain,” tegas beliau.

Hadir bersama beliau saudara Syed Othman Bin Syed Abdullah atau lebih mesra dengan panggilan Arab, Penyelia Pusat Aduan Rakyat Zon Permas dan Johor.

Sidang kenyataan akhbar yang tersebut bermula seawal 11.45pagi dan berakhir kira-kira jam 12.30 tengah hari.

Tuesday, December 20, 2011

Mangsa banjir Johor meningkat ke 1,718


JOHOR BAHARU, 20 Dis (Bernama) -- Jumlah mangsa banjir yang dipindahkan di Johor setakat 10 pagi tadi meningkat kepada 1,718 orang berbanding 1,011 orang semalam.

Menurut Portal Banjir Majlis Keselamatan Negara (MKN) Johor, sebanyak 28 pusat pemindahan banjir dibuka.

Empat lagi pusat pemindahan dibuka di Kluang iaitu Sekolah Kebangsaan (SK)Sungai Linau, Dewan Parit Haji Hassan, Balairaya Kampung Bentong, Sekolah Agama Kampung Tengah 1 menjadikan 16 pusat pemindahan yang dibuka di daerah itu.

Jumlah mangsa di daerah itu meningkat daripada 754 kepada 1,039 mangsa.

Pusat pemindahan lain di Kluang ialah Balai Raya Kampung Kolam Air; Balai Raya Kampung Berasau; Kampung Orang Asli Sungai Peroh; Balai Raya Kampung Punchor; Balai Raya Taman Puteri; Balai Aktiviti Kampung Contoh; Balai Raya Kampung Batu 4, Paloh; Balai Raya Kampung Muhibbah; Balai Aktiviti Kampung Melayu Mardi; SK Sri Kencana, Simpang Renggam; Balai Raya Kampung Mengkibol; dan SJK (C) Ping Min.

Dua lagi pusat pemindahan yang baru dibuka di Batu Pahat iaitu Taman Sri Kota dan SK Kota Dalam, kedua-duanya di Yong Peng berbanding satu sahaja semalam iaitu di Balairaya Kampung Parit Haji Kamisan dengan keseluruhan mangsa setakat 10 pagi seramai 65 orang.

Dua pusat pemindahan juga dibuka di Pontian iiatu SK Melayu Raya dan Surau Kampung Tampok Laut dengan mangsa seramai 74 orang.

Di Segamat, pusat pemindahan kekal tiga iaitu di Balai Islam Kampung Paya Dalam, Balai Raya Spangloi; dan Balai Raya Kg Usaha Jaya tetapi jumlah mangsa meningkat kepada 86 mangsa berbanding 81 mangsa semalam.

Jumlah mangsa banjir yang dipindahkan ke SK Batu 10, Skudai, Johor Baharu meningkat kepada 361.

Jumlah mangsa di Balai Raya Kampung Sungai Berangan, Kota Tinggi meningkat kepada 17 orang.

Dua lagi pusat pemindahan dibuka hari ini iaitu Dewan Raya Kampung Murni Jaya dan Dewan Raya Kampung Sungai Siam di Kulai Jaya dengan 76 mangsa banjir.

Sumber : Bernama

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More