GELANG PATAH, 18 Januari 2012 – PAS Kawasan Gelang Patah sekali lagi bersama-sama masyarakat Cina setempat dengan mengadakan aktiviti mengedar buah limau dan kad ucapan Selamat Tahun Baru Cina serta kalender tahun 2012 kepada mereka sempena Tahun Baru Cina yang akan tiba minggu depan.
Program edaran ini dijayakan bersama Yang Di-Pertua PAS Kawasan Gelang Patah, Tuan Haji Dzulkefly Bin Ahmad dan juga Ketua Pemuda PAS Kawasan Gelang Patah, Ustaz Zaifidin Isa.
Edaran ini berjalan di sekitar kawasan pekan Gelang Patah melibatkan premis-premis perniagaan runcit, gerai-gerai makan dan kedai membaiki kenderaan.
Tuan Haji Dzulkefly sempat beramah mesra dengan masyarakat Cina setempat dan melihat respon mereka terhadap PAS dan Pakatan Rakyat.
Rata-rata masyarakat Cina khususnya kaum Tioghua menerima baik kehadiran rombongan PAS dan ramai yang menyatakan sokongan padu mereka terhadap PAS dan Pakatan Rakyat.
“Hari ini kita lihat orang Cina tidak seperti dulu. Mereka terima PAS dan PR dengan baik. Mereka gembira dengan kehadiran kita. Kita lihat orang Cina hari ini bagi sokongan lebih lagi dari orang Melayu. Ini sesuatu yang di luar jangkaan”, jelas Tuan Haji Dzulkefly Ahmad.
Menurut beliau lagi, penerimaan masyarakat Cina semakin bertambah kesan tsunami politik dalam Pilihanraya yang lepas. Beliau amat yakin dengan survey yang dibuat oleh badan bebas berkenaan kebangkitan kaum Cina dalam menyokong Pakatan Rakyat sejak akhir-akhir ini.
“Di peringkat nasional, kita lihat peratus yang menyokong PR meningkat mendadak dari sekitar 70% kepada 90%.”
“Kesan yang sama kita dapat lihat di Johor. Peratus sokongan kaum Cina ini berganjak dari 55% kepada 70%. Saya amat yakin survey yang dibuat ini ada asasnya.” Jelasnya lagi setelah mendapat respon yang baik semasa edaran limau dan kad ini dijalankan semalam.
Program yang digerakkan oleh hampir 30 orang ahli PAS kawasan Gelang Patah ini bermula kira-kira jam 5.00 petang dan berakhir pada 7.00 malam.
0 comments:
Post a Comment