Monday, September 19, 2011

Jamuan Hari Raya dan Sambutan Hari Malaysia Pakatan Rakyat Gelang Patah meriah

GELANG PATAH, 17 September 2011: Sekitar 2,000 tetamu hadir memeriahkan Jamuan Hari Raya dan Sambutan Hari Malaysia anjuran PAS Kawasan Gelang Patah dengan kerjasama parti komponen Pakatan Rakyat yang lain di Pusat Sukan dan Rekreasi Taman Universiti yang diadakan semalam, 16 September 2011.

Masyarakat yang terdiri dari pelbagai lapisan kaum turut hadir bersama meraikan majlis Jamuan Hari Raya dan Sambutan Hari Malaysia yang julung kali diadakan di negeri Johor itu. Kehadiran yang luar biasa di majlis tersebut nyata menggalakkan.

Orang ramai yang hadir seawal jam 7.30 malam, tidak melepaskan peluang beramah mesra dengan pemimpin yang hadir serta menikmati juadah yang disediakan khusus kepada pengunjung-pengunjung yang hadir.

Majlis kali ini turut dimeriahkan dengan kehadiran Datuk Seri Anwar Ibrahim selaku Ketua Pembangkang di Dewan Rakyat merangkap perasmi majlis pada malam itu. Hadir sama ke majlis ini adalah Yb Salahuddin Ayub yang juga merupakan Naib Presiden PAS Pusat dan Dato’ Dr. Haji Mahfodz Mohamed selaku Pesuruhjaya PAS Johor dan Naib Ketua Dewan Ulama PAS Pusat.

Dalam ucapan daripada Tn Hj. Dzulkefly Ahmad selaku Yang Dipertua PAS Kawasan Gelang Patah merangkap Timbalan Pesuruhjaya PAS Johor, beliau melahirkan rasa gembira dan berterima kasih atas sambutan orang ramai terhadap program Pakatan Rakyat kawasan Gelang Patah ini yang cukup memberansangkan. Beliau turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada petugas-petugas yang telah bertungkus lumus menjayakan majlis pada malam itu.

Pengunjung yang hadir ke majlis ini turut dihiburkan dengan persembahan dari kumpulan Alternative Band Club(ABC) yang dibawakan khas dari Unit Amal Negeri Johor .

Thursday, August 25, 2011

Yang Susah Dijejaki, Bantuan Diberi

GELANG PATAH, 21 OGOS: Kesibukan mengharungi fasa ketiga Ramadhan dan Syawal 1432H yang akan tiba, PAS kawasan Gelang Patah meneruskan perjalanan menjejaki golongan yang memerlukan bantuan.

Delegasi Program Sumbangan Ramadhan ini berjalan di sekitar Kampung Ladang dengan diketuai oleh Ustaz Zaifiddin bin Isa, Ketua Pemuda PAS kawasan Gelang Patah, dan Sabariah binti Mohd Amin, Ketua Dewan Muslimat PAS kawasan Gelang Patah, diiringi oleh beberapa orang ahli Dewan Pemuda dan Dewan Muslimat PAS kawasan Gelang Patah yang lain.

Dalam kunjungan tersebut, 16 buah rumah telah dilawati. Setiap rumah tersebut mempunyai latar belakang keluarga yang berbeza. Kebanyakan penduduk yang ditemui merupakan warga emas yang sudah tidak mampu untuk menguruskan diri mereka sendiri, malah sangat bergantung pada ihsan orang lain.

Turut ditemui adalah golongan ibu tunggal yang hidupnya ibarat kais pagi makan pagi, kais petang makan petang, bertungkus lumus bekerja bagi mencari sesuap nasi untuk anak-anak. Selain itu, PAS kawasan Gelang Patah turut menziarahi sepasang adik-beradik yang telah hilang tempat bergantung setelah ditinggalkan ibu mereka. Adik-beradik ini hanya mengharapkan bantuan jiran tetangga bagi menguruskan keperluan harian mereka.

Prihatin atas keperitan hidup yang dilalui oleh mereka yang memerlukan bantuan, PAS kawasan Gelang Patah mengambil inisiatif untuk turun padang menyantuni golongan ini. Bagi meringankan sedikit beban yang ditanggung, PAS kawasan Gelang Patah turut memberikan sumbangan makanan asasi beserta sumbangan wang zakat kepada mereka yang layak untuk menerimanya.

Program tradisi ini akan sentiasa diteruskan sebagai satu usaha PAS mendekati masyarakat dengan melihat sendiri keperitan hidup yang dilalui. Sumbangan yang dihulurkan diharap dapat meringankan beban penduduk yang kurang bernasib baik agar turut sama dapat mengharungi baki Ramadhan dan Syawal yang bakal menjelma seperti penduduk lain.

Friday, August 19, 2011

Edaran Bubur Lambuk di Tun Aminah


TAMAN TUN AMINAH, 17 OGOS : Seramai hampir 30 orang ahli PAS Kawasan Gelang Patah dan ahli DAP Kawasan Skudai dengan kerjasama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Skudai,  Dr. Boo Cheng Hau mengambil inisiatif mendekati masyarakat setempat khususnya umat Islam dengan menjalankan aktiviti mengedar bubur lambuk di Bazar Ramadhan, Khamis lalu.

Aktiviti mengedar bubur lambuk ini bertepatan dengan dengan tuntutan agama Islam yang menggalakkan umat Islam untuk menggandakan amalan bersedekah di bulan Ramadhan ini.

Program mengedar bubur lambuk ini bermula kira-kira jam 5.00 petang dan berakhir sekitar jam 6.15 petang. Walaupun terpaksa berhadapan dengan keadaan hujan yang turun pada awalnya, rakan-rakan Pakatan Rakyat ini tidak menghiraukan keadaan sedemikian.

Sebanyak 300 bungkus bubur lambuk berjaya diedarkan kepada peniaga-peniaga dan juga pengunjung bazar Ramadhan Taman Tun Aminah dalam program tersebut.

“ Biarpun pun terpaksa berhujan, kita tetap rasa gembira kerana dapat bersama-sama peniaga dan juga pengunjung bazar Ramadhan di sini, hari ini.

“Peniaga-peniaga di sini ramah belaka. Mereka senang dengan kehadiran kami.

“Sekali sekala elok juga kita dapat rasa bagaimana susah payah peniaga untuk mencari rezeki buat anak-anak dan keluarga meraka di sini,” kata Tuan Haji Dzulkefly Bin Ahmad, Penyelia Pusat Aduan Rakyat Nusajaya.


Sehubungan dengan itu, ketika ditanya kepada pengunjung bazar Ramadhan di sini tentang harga yang dikenakan oleh peniaga gerai, rata-rata menyatakan harga yang dikenakan berpatutan.

Program yang dijalankan atas kerjasama PAS dan DAP dibawah entiti Pakatan Rakyat ini dilihat mendapat sambutan yang menggalakkan daripada masyarakat setempat dan banyak lagi program edaran bubur lambuk ini akan dijalankan sepanjang bulan Ramadhan.




Thursday, August 18, 2011

Hulurkan Tangan, Ringankan Beban

GELANG PATAH, 15 Ogos: Sempena bulan Ramadan Al-Mubarak ini, PAS kawasan Gelang Patah meneruskan tradisi menyampaikan sumbangan kepada penduduk setempat yang kurang bernasib baik. Lawatan sekitar Taman Teratai, Johor diketuai oleh YDP PAS kawasan Gelang Patah, Tuan Hj. Dzulkefly bin Ahmad diiringi ahli Dewan Pemuda dan Dewan Muslimat PAS kawasan Gelang Patah.

Matlamat utama PAS kawasan Gelang Patah mengadakan Program Sumbangan Ramadhan bersama masyarakat setempat ini adalah untuk membantu meringankan bebanan yang ditanggung oleh masyarakat sekitar selain meraih keberkatan Ramadhan dengan mengamalkan budaya bersedekah.

Dalam lawatan tersebut, sebanyak sepuluh buah rumah telah dikunjungi oleh YDP PAS kawasan Gelang Patah. Kebanyakan penduduk yang dikunjungi adalah ibu tunggal dengan tanggungan yang ramai serta berpendapatan kecil. Sebahagian yang lain pula merupakan warga emas dan OKU yang sudah hilang keupayaan untuk mencari pendapatan.

Dengan sumber pendapatan bulanan yang tidak tetap, mereka hanya mengharapkan bantuan dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM). Ada juga di antara mereka yang sudah tidak mampu untuk bekerja disebabkan keuzuran, hanya mengharapkan belas kasihan anak-anak mereka memberikan bantuan kewangan.

Memandangkan Ramadhan sudah menghampiri ke akhir fasa, sudah pasti setiap dari mereka juga ingin membuat sedikit persiapan untuk Hari Raya Aidilfitri yang bakal menjelang. Simpati atas nasib yang ditanggung oleh golongan ini, PAS kawasan Gelang Patah terpanggil untuk turun melihat dan membantu, mudah-mudahan dengan sumbangan yang diberikan ini dapat mengurangkan beban mereka.

Usaha ini selari dengan matlamat PAS menuju Ke Arah Negara Berkebajikan. Semoga dengan aktiviti begini akan merapatkan lagi hubungan PAS kawasan Gelang Patah dengan masyarakat tempatan.

Wednesday, August 17, 2011

Majlis Makan Malam Masyarakat India Gelang Patah - Ucapan Hj Dzul

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More