Thursday, October 20, 2011

Salah Urus Tadbir Pengorekan Pasir Sungai Ulu Pulai

ULU PULAI 14 OKTOBER : Penduduk Kampung Ulu Pulai semakin tertekan lantaran kerja-kerja mengorek dan mengangkut pasir yang diberi permit oleh Pejabat Tanah Pontian kepada sebuah syarikat swasta. Aktiviti ini meninggalkan kesan buruk kepada struktur tebing sungai di kawasan tersebut yang sebenarnya telah 'memakan' tanah penduduk kampung di situ.


Salah guna permit korek pasir


Lebih menyedihkan lagi, aktiviti mengorek pasir yang tidak terkawal itu menyebabkan struktur tanah menjadi lemah dan telah mengakibatkan runtuhnya sebuah rumah penduduk kampung dan dibawa arus sungai. Perkara ini semakin dibimbangi terjadi kembali kerana kawasan pengorekan pasir sudah pun menyebabkan hakisan serta runtuhan tanah di tepi rumah sesetengah penduduk kampung, sehingga jarak runtuhan berada dalam lingkungan dua meter dari dinding rumah.

Kunjungan Penyelia Pusat Aduan Rakyat (PAR) Nusajaya, Tuan Haji Sr. Dzulkefly Bin Ahmad ke Kampung Ulu Pulai, Gelang Patah untuk membantu penduduk kampung telah berjaya merungkai beberapa kecelaruan maklumat dan penindasan yang didalangi oleh pemimpin setempat dan syarikat swasta terbabit.

Tuan Haji Zulkefly meninjau tempat kejadian.


Aktiviti pengorekan pasir kali kedua yang dijalankan hampir empat bulan ini dimaklumkan kepada penduduk oleh pemimpin setempat sebagai projek kerajaan di bawah Jabatan Pengairan Dan Saliran Johor (JPS Johor) dalam usaha untuk memperdalam sungai di kampung tersebut bagi mengatasi masalah banjir.

Setelah kajian  terperinci dijalankan pada hari tersebut, Penyelia Pusat Aduan Rakyat Nusajaya akhirnya telah membongkar suatu bentuk penipuan dari wakil rakyat kawasan terbabit. Projek itu sebenarnya mendapat permit dari Pejabat Tanah Pontian dan bertujuan hanya untuk mengorek pasir di dasar sungai bagi tujuan penjualan pasir.



Wakil JPS Johor turut serta dalam tinjauan setelah mendapat laporan dari PAR Nusajaya dan arahan untuk memberhentikan gerak kerja pengorekan telah dikeluarkan secara serta merta kepada pihak Pejabat Tanah Pontian untuk disampaikan kepada syarikat terbabit tetapi malangnya kerja pengorekan tetap dijalankan seperti biasa.

Dalam masa yang sama, Pihak PAR Nusajaya turut mengadakan perbincangan berkenaan urus tadbir projek semasa tinjauan bersama JPS Johor .

Melalui perbincangan secara tidak formal yang diadakan, pihak JPS telah mengesan banyak salah laku urus tadbir projek pengorekan pasir yang telah dilaksanakan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

Pihak syarikat dan wakil rakyat langsung tidak memaklumkan kepada JPS Johor berkenaan aktiviti pengorekan pasir yg dijalankan di kampung tersebut. Oleh yang demikian, garis panduan kerja pengorekan pasir tersebut tidak dapat dipantau dan syarikat terbabit telah banyak melakukan pelanggaran tatacara garis panduan yang ditetapkan.

Antara kesalahan yang ketara dan dianggap biadap adalah  papan tanda projek yang dipasang khusus untuk mengelirukan penduduk kampung tentang status projek dan tidak meminta pemantauan dari pihak JPS Johor.

Selain itu, menurut prosedur yang ditetapkan, kerja-kerja pengorekan hanya boleh dilakukan di bahagian tengah dasar sungai sahaja yang melibatkan kedalamannya hanya kira-kira satu meter dari permukaan dasar sungai asal di samping kerja pengorekan tidak boleh menghampiri tebing sungai sehingga dua meter bagi mengelakan kejadian tebing runtuh. Kerja-kerja pengorekan juga tidak dibenarkan menggunakan pam pasir.

Tambahan lagi, pengorekan pasir yang tejadi di kampung berkenaan adalah bersifat setempat dimana ianya dilarangkerana ianya hanya bermotifkan keuntungan jualan pasir yg banyak dan membahayakan struktur sungai berkenaan dan member kesan yang amat buruk dalam masa panjang.

Pihak JPS Johor memaksa pemberhetian projek serta merta dan kerja-kerja penilaian kerosakan terhadap sungai terbabit serta jumlah keseluruhan kerugian akan ditaksir semula.

Friday, October 14, 2011

Ceramah Demi Rakyat - Hj Zul


Mengupas isu-isu terkini selatan Malaysia yang berkaitan dengan kepincangan Kerajaan Barisan Nasional di Johor yang dibisukan media. Antaranya adalah pembahagian kekayaan Iskandar Malaysia yang bukan menguntungkan rakyat tempatan, tapi hanya seperti menjual negara kepada pelabur-pelabur Singapura. Juga menyentuh berkenaan keangkuhan pemerintah negeri terhadap kuasa pemerintahan di Johor.

Wednesday, October 12, 2011

Penduduk Gelang Patah Banjiri Ceramah Mat Sabu

ULU PULAI , 12 Oktober 2011: Lebih dari 1000 orang penduduk setempat hadir ke Ceramah Penerangan anjuran PAS Kawasan Gelang Patah semalam. Kehadiran orang ramai ini mengambarkan penduduk mula haus untuk mencari sumber-sumber berita yang sahih yang semakin jarang didapati di media utama negara ketika ini.

Ceramah yang dianjurkan di Markas PAS Ulu Pulai itu dibarisi oleh Timbalan Presiden PAS, Tn. Hj. Mohamad Bin Sabu atau lebih mesra dikenali sebagai Mat Sabu . Turut memeriahkan ceramah ini adalah Tn. Hj. Dzulkefly Bin Ahmad selaku Yang Dipertua PAS Kawasan Gelang Patah merangkap Timbalan Pesuruhjaya PAS Negeri Johor, Saudara Suhaizan Bin Kaiat selaku Ketua Pemuda PAS Negeri Johor dan Datuk Chua Jui Meng dari PKR.

“ Bajet yang diumumkan baru-baru ini merupakan bajet difisit kerana jumlah perbelanjaan Negara melebihi jumlah pendapatan negara. Sudah 14 tahun bajet deficit diumukan oleh BN”, jelas Tn. Hj. Dzulkefly Bin Ahmad.

Sementara itu, Saudara Suhaizan Bin Kaiat pula telah mendedahkan seramai 170,000 yang tidak diketahui asal usulnya yang mempunyai kod 71 di kad pengenalan. Kebanyakan mereka didaftarkan sebagai pengundi terutamanya di negeri Pakatan Rakyat memerintah.

Timbalan Presiden PAS, Mat Sabu dalam ucapannya pula menyebut, “Generasi muda yang digelar ‘Generasi Facebook’ ketika ini sudah mula menyokong Pakatan Rakyat. Generasi ini yang akan menumbangkan BN yang zalim ketika ini kerana mereka ini mudah mencari dan mendapat maklumat”.

Beliau turut melancarkan Kempen Protes Barang Naik (BN) peringkat zon selatan semasa ceramah ini. Kempen ini merupakan kempen untuk menyedarkan masyarakat terhadap kenaikan harga barang keperluan semasa.

Monday, September 19, 2011

Jamuan Hari Raya dan Sambutan Hari Malaysia Pakatan Rakyat Gelang Patah meriah

GELANG PATAH, 17 September 2011: Sekitar 2,000 tetamu hadir memeriahkan Jamuan Hari Raya dan Sambutan Hari Malaysia anjuran PAS Kawasan Gelang Patah dengan kerjasama parti komponen Pakatan Rakyat yang lain di Pusat Sukan dan Rekreasi Taman Universiti yang diadakan semalam, 16 September 2011.

Masyarakat yang terdiri dari pelbagai lapisan kaum turut hadir bersama meraikan majlis Jamuan Hari Raya dan Sambutan Hari Malaysia yang julung kali diadakan di negeri Johor itu. Kehadiran yang luar biasa di majlis tersebut nyata menggalakkan.

Orang ramai yang hadir seawal jam 7.30 malam, tidak melepaskan peluang beramah mesra dengan pemimpin yang hadir serta menikmati juadah yang disediakan khusus kepada pengunjung-pengunjung yang hadir.

Majlis kali ini turut dimeriahkan dengan kehadiran Datuk Seri Anwar Ibrahim selaku Ketua Pembangkang di Dewan Rakyat merangkap perasmi majlis pada malam itu. Hadir sama ke majlis ini adalah Yb Salahuddin Ayub yang juga merupakan Naib Presiden PAS Pusat dan Dato’ Dr. Haji Mahfodz Mohamed selaku Pesuruhjaya PAS Johor dan Naib Ketua Dewan Ulama PAS Pusat.

Dalam ucapan daripada Tn Hj. Dzulkefly Ahmad selaku Yang Dipertua PAS Kawasan Gelang Patah merangkap Timbalan Pesuruhjaya PAS Johor, beliau melahirkan rasa gembira dan berterima kasih atas sambutan orang ramai terhadap program Pakatan Rakyat kawasan Gelang Patah ini yang cukup memberansangkan. Beliau turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada petugas-petugas yang telah bertungkus lumus menjayakan majlis pada malam itu.

Pengunjung yang hadir ke majlis ini turut dihiburkan dengan persembahan dari kumpulan Alternative Band Club(ABC) yang dibawakan khas dari Unit Amal Negeri Johor .

Thursday, August 25, 2011

Yang Susah Dijejaki, Bantuan Diberi

GELANG PATAH, 21 OGOS: Kesibukan mengharungi fasa ketiga Ramadhan dan Syawal 1432H yang akan tiba, PAS kawasan Gelang Patah meneruskan perjalanan menjejaki golongan yang memerlukan bantuan.

Delegasi Program Sumbangan Ramadhan ini berjalan di sekitar Kampung Ladang dengan diketuai oleh Ustaz Zaifiddin bin Isa, Ketua Pemuda PAS kawasan Gelang Patah, dan Sabariah binti Mohd Amin, Ketua Dewan Muslimat PAS kawasan Gelang Patah, diiringi oleh beberapa orang ahli Dewan Pemuda dan Dewan Muslimat PAS kawasan Gelang Patah yang lain.

Dalam kunjungan tersebut, 16 buah rumah telah dilawati. Setiap rumah tersebut mempunyai latar belakang keluarga yang berbeza. Kebanyakan penduduk yang ditemui merupakan warga emas yang sudah tidak mampu untuk menguruskan diri mereka sendiri, malah sangat bergantung pada ihsan orang lain.

Turut ditemui adalah golongan ibu tunggal yang hidupnya ibarat kais pagi makan pagi, kais petang makan petang, bertungkus lumus bekerja bagi mencari sesuap nasi untuk anak-anak. Selain itu, PAS kawasan Gelang Patah turut menziarahi sepasang adik-beradik yang telah hilang tempat bergantung setelah ditinggalkan ibu mereka. Adik-beradik ini hanya mengharapkan bantuan jiran tetangga bagi menguruskan keperluan harian mereka.

Prihatin atas keperitan hidup yang dilalui oleh mereka yang memerlukan bantuan, PAS kawasan Gelang Patah mengambil inisiatif untuk turun padang menyantuni golongan ini. Bagi meringankan sedikit beban yang ditanggung, PAS kawasan Gelang Patah turut memberikan sumbangan makanan asasi beserta sumbangan wang zakat kepada mereka yang layak untuk menerimanya.

Program tradisi ini akan sentiasa diteruskan sebagai satu usaha PAS mendekati masyarakat dengan melihat sendiri keperitan hidup yang dilalui. Sumbangan yang dihulurkan diharap dapat meringankan beban penduduk yang kurang bernasib baik agar turut sama dapat mengharungi baki Ramadhan dan Syawal yang bakal menjelma seperti penduduk lain.

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More