Wednesday, August 10, 2011

Perginya seorang ibu di Bulan Ramadhan


GELANG PATAH, 9 OGOS : Berita kematian isteri yang disayangi oleh seorang warga emas yang juga pesara, Hassim Bin Dawam, 65, sangat memberikan kejutan kepadanya dan seluruh ahli keluarga.


Allahyarhamah, Khadijah Binti Katan, 60, tidak ada menunjukkan sebarang tanda-tanda sakit sebelum kematiannya pada petang Isnin lalu kira-kira jam 2.30 petang.

Ketika kejadian, anaknya yang masih tinggal dengan pasangan warga emas itu menyedari emaknya meninggal dunia apabila ditemui terjatuh di hadapan pintu rumah kediaman mereka di Taman Universiti, Jalan Pertanian pada petang tersebut.

Anaknya turut meminta pertolongan dari jiran bersebelahan setelah menyedari emaknya baru sahaja terjatuh dan pengsan sewaktu ditemui. Ketika suami Allahyarhamah sampai untuk memberikan bantuan, dia menyedari bahawa isterinya sudahpun menghembuskan nafas terakhir.


Keluarga Allahyarham redha dengan ketentuan Allah dan menyifatkan pemergian ibunda mereka di bulan Ramadhan yang mulia ini sebagai suatu bentuk rahmah. Menurut Hanafi, anak ke-6 pasangan terbabit, kematian ibunya adalah berkemungkinan disebabkan serangan jantung di mana beliau pernah menunjukkan simptom-simptom serangan jantung yang ringan sebelum ini.

Tuan Hj. Dzulkefly Bin Ahmad, penyelia Pusat Aduan Rakyat Gelang Patah yang juga merupakan seorang Surveyor turut menziarahi rumah Allahyarhamah Khadijah Binti Katan bersama beberapa orang lagi ahli PAS kawasan Gelang Patah dan mengadakan tahlil ringkas untuk keluarga Allahyarhamah.

Tuan Hj. Dzulkefly Bin Ahmad juga sempat menenangkan ahli keluarga Allahyarhamah dan memberi semangat kepada ahli keluarga yang dijumpai beliau.

Jenazah Allahyarhamah mula dikebumikan pada jam 8.30 pagi pada hari Selasa dan majlis pengkebumian selesai pada kira-kira jam 10.30 pagi di Tanah Perkuburan Kangkar Pulai. Semua ahli keluarga jenazah sempat menziarahinya sebelum pengkebumian tersebut.

Rumah En. Hassim sehingga kini tidak lekang dikunjungi semua sanak saudara dan sahabat handai. Semoga pemergian Allahyarhamah di bulan Ramadhan yang mulia ini mendapat keberkatan dari Allah.

Monday, August 8, 2011

Inisiatif PAS, buka mata penduduk setempat

GELANG PATAH, 7 OGOS : Dalam keghairahan menjalani ibadah di Ramadhan yang mulia ini, PAS Kawasan Gelang Patah telah mengambil inisiatif mengadakan satu program kebajikan di sekitar Taman Pulai Utama dan Taman Universiti. Program ini diziarahi oleh ahli PAS dari rumah ke rumah sambil memberi sedikit sumbangan berbentuk wang dan makanan asasi kepada golongan kurang berkemampuan. Lawatan ini juga bertujuan untuk meninjau kehidupan seharian mereka di samping mengeratkan ukhuwah di antara ahli PAS Gelang Patah dengan penduduk setempat.

Lawatan yang diketuai oleh Yang Di-Pertua PAS Kawasan Gelang Patah, Tn Hj Dzulkefly Bin Ahmad bermula seawal jam 3.00 petang. Kebanyakan penduduk yang diziarahi adalah dikalangan mereka yang dhaif, golongan ibu tunggal, orang kurang upaya dan juga warga emas. Sumbangan diberikan kepada 20 buah rumah penduduk setempat yang dikenal pasti layak menerima sumbangan. Sewaktu lawatan ini, ahli PAS sempat bertemu ramah dan bertanya khabar mereka yang diziarahi. Mereka yang menerima kunjungan ziarah ini rata-rata berasa sangat gembira, bersyukur dan terharu dengan keprihatinan ahli PAS Kawasan Gelang Patah yang bersama-sama menyelami suka duka kehidupan masyarakat sekitar.



“Golongan seperti ini sewajarnya mendapat perhatian yang serius daripada semua pihak. Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) khususnya, perlu lebih agresif dan rasa bertanggungjawab dalam menguruskan soal penduduk yang miskin serta memerlukan bantuan ini,” jelas Tuan Haji Dzulkefly Bin Ahmad, Yang Di-Pertua PAS Kawasan Gelang Patah juga merangkap Penyelia Pusat Aduan Rakyat DUN Nusajaya yang turut bersama-sama menyertai rombongan ziarah kali ini.

Program setengah hari ini berakhir pada jam 6.30 petang. Rombongan ziarah yang terdiri daripada 30 orang ahli PAS ini berasa sangat berpuas hati kerana dapat turun padang melihat sendiri kehidupan mereka yang kurang berkemampuan dan berazam untuk terus membantu mereka selagi terdaya.

Monday, September 6, 2010

Perutusan Penyelia PAR Zon Nusajaya & YDP PAS Kawasan Gelang Patah

Antara kelebihan ibadah puasa adalah ianya meningkatkan nilai kemanusiaan diri kita terhadap nasib yang menimpa manusia lain yang tidak bernasib baik atau mereka yang ditimba musibah yang melibatkan kelaparan ekoran dari kekurangan makanan dan minuman. Puasa mendidik kita menjadi manusia yang sentiasa perihatin dan peduli kepada golongan manusia yang kurang bernasib baik. Marilah kita mengambil keberkatan bulan Ramadhan Al-Mubarak dengan meningkatkan amal ibadah dan ketaatan kepada Allah SWT.

Sempena menjelangnya Aidil Fitri marilah kita memohon ampun dan maaf khususnya kepada kedua ibubapa yang telah banyak berjasa kepada kita. Bagi mereka yang ibubapanya telah tiada, marilah kita memanjatkan sekalung doa semoga roh mereka ditempatkan oleh Allah SWT bersama-sama dengan orang-orang yang beriman. Amin.

Di samping kegembiraan menyambut hari raya serta menziarahi sanak saudara dan rakan taulan janganlah kita lupa dan culas daripada memerhatikan aspek keselamatan rumah kesayangan yang bakal ditinggalkan sementara untuk berhari raya. Sentiasalah berhati-hati semasa di perjalanan agar dijauhi Allah SWT dari musibah kemalangan dan kecelakaan. Memandulah dengan penuh bertanggungjawab dengan mengikut peraturan jalan raya yang telah ditetapkan di samping mengamalkan sikap bertimbang rasa terhadap pengguna jalan raya yang lain, khususnya mereka yang menunggang motosikal dan perjalan kaki.

Akhirnya, marilah kita berdoa kepada Allah SWT agar sentiasa dipelihara keamanan dan keharmonian kehidupan rakyat Malaysia yang berbilang bangsa dan agama dan sentiasa dijauhi negara kita daripada gejala-gejala yang tidak sihat seperti rasuah, penyalah gunaan kuasa, kezaliman dan gejala sosial seperti zina dan buang bayi yang sedang merebak dalam masyarakat kita.

Selamat Berpuasa & Selamat Menyambut Aidil Fitri. Maaf Zahir & Batin.

Saturday, September 4, 2010

Bersama ADUN Skudai di Bazar Ramadhan Pekan Gelang Patah

Pada hari Ahad 29 Ogos, 2010, bermula jam 5.00 petang Penyelia Pusat Aduan Rakyat (PAR) Zon Nusajaya, Hj. Dzulkefly bin Hj. Ahmad, yang juga merupakan YDP PAS Kawasan Gelang Patah bersama dengan YB Dr. Boo Cheng Hau (Adun Skudai) dengan disertai oleh Hj. Musa Wahab (NYDP PAS Gelang Patah) telah mengedarkan sejumlah 300 bungkusan bubur lambuk kepada pengunjung dan juga peniaga Bazar Ramadhan Pekan Gelang Patah, di Taman Nusa Perintis. Bendera kereta juga diedarkan sempena menyambut hari kemerdekaan Malaysia kali yang ke-53 di samping edaran akhbar Sinar Harian percuma edisi Ahad 29 Ogos 2010 yang memuatkan temu bual ekslusif dengan YB Dr. Boo Cheng Hau. Majlis pengedaran mendapat sambutan baik daripada para pengunjung dan peniaga di tapak bazar ini. Adalah diharapkan, aktiviti ataupun program seperti ini akan dapat merapatkan lagi kepimpinan Pakatan Rakyat (PR) Gelang Patah dengan para penduduk kawasan Gelang Patah khususnya di DUN Nusajaya.

Edaran Bantuan Hari Raya kepada Penduduk Taman Desa Paya Mengkuang Gelang Patah


Pada hari Sabtu, 28 Ogos, 2010 jam 5.00 petang Penyelia Pusat Aduan Rakyat (PAR) Zon Nusajaya, Hj. Dzulkefly bin Hj. Ahmad bersama dengan PAS Kawasan Gelang Patah telah mengedarkan bantuan hari raya di Taman Desa Paya Mengkuang, Gelang Patah. Lebih daripada 15 keluarga telah menerima bantuan hari raya dalam bentuk beras dan wang tunai.

Turut serta dalam program tersebut adalah Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Johor iaitu Dato’ Dr Chua Jui Meng. Penyelia PAR Zon Nusajaya dan Dr Chua sempat mendengar aduan En. Rosli, Ketua Pemuda UMNO Cawangan Taman Desa Paya Mengkuang mengenai nasib 53 orang penduduk taman tersebut yang telah menerima notis pengusiran 14 hari daripada Pelabuhan Tg. Pelepas (PTP) dan dari jumlah tersebut, 8 orang penduduk akan dihadapkan ke Mahkamah Tinggi Johor Bahru pada 2 September 2010 akan datang. 28 orang daripada mereka adalah merupakan penduduk asal Kg. Tg. Pelepas yang tidak mendapat sebarang pampasan walaupun rumah mereka telah dirobohkan untuk memberi laluan kepada projek Pelabuhan Tg. Pelepas (PTP) pada tahun 1995. Alasan yang diberi kepada mereka agar tidak dibayar pampasan adalah kerana rumah mereka terletak di atas tanah milik ibubapa atau saudara-mara mereka,di mana pampasan hanya dibayar kepada pemilik yang namanya tertera di atas geran hakmilik sahaja.

Majoriti dari 53 orang penduduk tersebut tidak membayar harga rumah yang dibina oleh PTP kerana, di peringkat awalnya, mereka telah dijanjikan oleh pelbagai pihak bahawa mereka akan diberikan penempatan semula secara percuma. Bahkan semasa surat menandatangani persetujuan untuk berpindah dari rumah panjang di Kg. Ladang ke penempatan semula di Taman Desa Paya Mengkuang tidak ada dinyatakan bahawa mereka perlu membayar harga rumah penempatan semula tersebut. Kebanyakan mereka adalah nelayan yang tidak mempunyai pendapatan tetap dan ini akan menyukarkan mereka untuk memperoleh pinjaman perumahan daripada mana-mana institusi kewangan tambahan. Di samping itu, umur purata para penduduk ini telah lanjut.

Menurut En. Rosli lagi mereka dijanjikan hanya akan berada di rumah panjang sementara di Kg. Ladang untuk tempoh 2 tahun (1997-1999) sebelum penempatan semula disiapkan. Walaubagaimanapun selepas 7 tahun iaitu tahun 2004 barulah penempatan semula di Taman Desa Paya Mengkuang disiapkan. Penyelia PAR Nusajaya dan Dato’ Chua akan berusaha menyediakan bantuan guaman daripada Pakatan Rakyat (PR) dan juga akan merujukkan isu ini kepihak SUHAKAM.

Penyelia PAR Zon Nusajaya, Tn. Hj Dzulkefly menyatakan kes ini adalah salah satu contoh bagaimana rakyat Melayu Islam dizalimi oleh kerajaan UMNO/BN. Sepatutnya penduduk atau tuan tanah asal perlulah mendapat pembelaan yang sewajarnya sepertimana yang dialami oleh penduduk asal Shenzen, China yang sekarang ini hampir kesemuanya menjadi jutawan setelah Shenzen dibangunkan sebagai pembangunan wilayah oleh Kerajaan China. Shenzen juga merupakan kiblat kepada Iskandar Malaysia (IM).

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More