Tuesday, January 17, 2012

PAS Gelang Patah Meraikan Kedatangan Tahun Baru Cina

GELANG PATAH, 16 Jan 2012: YDP PAS Kawasan Gelang Patah Tuan Hj. Dzulkefly bin Hj. Ahmad yang juga merupakan Penyelia Pusat Aduan Rakyat (PAR) Zon Nusajaya bersama dengan YB Dr Boo Chen Hau (ADUN Skudai) dengan disertai oleh Hj. Musa Wahab (NYDP PAS Gelang Patah) telah membuat edaran buah limau dan kad ucapan Selamat Tahun Baru Cina kepada masyarakat sekitar khususnya kepada masyarakat Cina sempena Tahun Baru Cina yang bakal menjelang dalam beberapa hari lagi.

YDP Tuan Hj. Dzulkefly bin Hj. Ahmad mengedarkan buah limau dan kad Tahun Baru Cina kepada peniaga

Program edaran ini telah berlangsung selama dua hari. Bermula pada hari Sabtu, 14 Jan 2012, edaran berjalan di sekitar Pasar Teetah, Taman Universiti. Program ini dilihat mendapat sambutan baik daripada peniaga dan juga pengunjung Cina yang tidak putus-putus datang menbanjiri kawasan tapak pasar seawal 8.30 pagi lagi. Selain itu, Tuan Hj. Dzulkefly bin Hj. Ahmad turut mengadakan edaran sambil beramah mesra dengan kaum Tionghua dan masyarakat setempat sekitar kawasan Pasar Taman Universiti, Mutiara Rini dan Lima Kedai meliputi premis-premis perniagaan di dalam pekan. Di sebelah malamnya, edaran berjalan sekitar gerai-gerai makan milik peniaga Cina di kawasan Taman Universiti dan Pulai Utama.

YDP Tuan Hj. Dzulkefly bin Hj. Ahmad mengedarkan kad Tahun Baru Cina kepada masyarakat Cina

Keesokan harinya pula, Tuan Hj. Dzulkefly bin Hj. Ahmad bersama rombongannya meneruskan lagi edaran buah limau sambil menyantuni masyarakat setempat, sekitar kawasan pasar dan premis-premis perniagaan di Kangkar Pulai dan Ulu Choh. Kelihatan masyarakat setempat khususnya masyarakat Cina gembira dengan kehadiran YDP PAS Kawasan Gelang Patah, Tuan Hj. Dzulkefly bin Hj. Ahmad yang turut sama meraikan kedatangan Tahun Baru Cina.

Di samping edaran buah limau dan kad ucapan, kalendar 2012 turut diedarkan sempena tahun 2012 yang baru bermula. Diharapkan program tahunan seperti ini akan lebih merapatkan lagi hubungan di antara kaum tanpa mengira fahaman politik dan agama antara kepimpinan Pakatan Rakyat (PR) Gelang Patah dengan para penduduk kawasan Gelang Patah khususnya di DUN Nusajaya.

Sunday, January 15, 2012

Guru PASTI Meninggal Dunia Dalam Kemalangan

Jenazah Allahyarhamah Cikgu Zainon binti Ma'as
Gelang Patah, 15 Januari - Enam orang guru PASTI Gelang Patah telah terlibat dalam kemalangan jalan raya sekitar petang tadi dalam perjalanan balik daripada program di Parit Raja.

Allahyarhamah Cikgu Zainon binti Ma'as, 44, guru PASTI Siswa 2, meninggal dunia di tempat kejadian. Seorang guru PASTI Siswa 3, Cikgu Siti Rauddah binti Ab. Rahman, 26, sedang dalam keadaan kritikal di Hospital Daerah Kluang, manakala Cikgu Besek Dillong binti Abd. Samad, 49, guru PASTI Siswa 2, patah tangan.

Turut terlibat dalam kemalangan tersebut adalah Cikgu Norhana binti Hassan, 39, Cikgu Siti Rafeah binti Haroon, 41, dan Cikgu Azrita binti Bakri, 42. Semua mangsa kemalangan, kecuali Cikgu Siti Rauddah binti Ab. Rahman, kini berada di Hospital Kulai. Jenazah Allahyarhamah Cikgu Zainon binti Ma'as akan disolatkan dan dikebumikan di 123B Felda Pasir Raja, Kulai, Johor pada jam 10.15 malam ini.

Thursday, January 12, 2012

MB Berbohong Kepada Rakyat Johor

JOHOR BAHRU, 12 Januari 2011 – Setelah mendapat desakan daripada PAS Johor berhubung isu pengambilan QSR dan KFCH oleh JCORP, Dato’ Abdul Ghani Othman yang merupakan Menteri Besar Negeri Johor telah membuat kenyataan akhbar kali pertama berhubung isu berkenaan seperti yang disiarkan oleh Berita Harian edisi Khamis, 5 Januari 2012 dan Harian Metro edisi Jumaat, 6 Januari 2012.

PAS Johor semalam, telah membuat sidang akhbar sebagai kenyataan balas terhadap kenyataan akhbar yang dibuat oleh Menteri Besar.

Kenyataan akhbar kali ini dibuat oleh Pesuruhjaya PAS Negeri Johor, Dato’ Dr. Mahfodz Bin Muhamed.

Di dalam kenyataan akhbar sebelum ini, Menteri Besar Dato’ Abdul Ghani Othman telah membuat beberapa kenyataan bohong dan mengelirukan rakyat Negeri Johor.

Antara kenyataan beliau adalah seperti berikut :

Kenyataan Pertama MB

1. Pengambilalihan tidak melibatkan pihak asing. JCORP hanya meningkatkan saham dalam QSR dari 33% kepada 51% dan dalam KFCH dari 17% kepada 51%.

Ulasan PAS Johor

Kenyataan cuba untuk mengelirukan dan memperbodohkan rakyat Johor. Bukankah JCORP bekerjasama dengan CVC Capital Partners (CVC) menubuhkan syarikat tujuan khas (special vehicle purpose) iaitu Massive Equity Sdn. Bhd. (MESB) yang mana JCORP memegang 51% kepentingannya manakala 49% lagi dipegang oleh CVC.

CVC merupakan sebuah firma equiti persendirian dan perunding pelaburan asing yang ditubuhkan di London pada tahun 1981 sebagai firma modal teroka kepada Citigroup (Citigroup Venture Capital-CVC) yang dipercayai mendapat sokongan kuat dari yahudi.

Pada tahun 1993, CVC telah diambilalih oleh pihak pengurusannya daripada Citigroup dan ditukar nama kepada CVC Capital Partners.

Bukankah sebaik sahaja pengambilalihan ini selesai maka secara langsung 49% kepentingan dalam QSR dan KFCH akan terlepas kepada pihak asing melalui CVC?

Kenyataan Kedua MB


2. Pengambilalihan keseluruhan kepentingan QSR dan KFCH melalui MESB adalah sebahagian ‘Proses Rasionalisasi’ perniagaan JCORP agar bahagian tertentunya menumpu kepada perniagaan utama seperti Kulim (M) Berhad tidak lagi terlibatdalam perniagaan runcit makanan tetapi menumpukan kepada perniagaan utamanya sahaja iaitu perladangan.

Ulasan PAS Johor


‘Proses Rasionalisasi’ dilaksanakan dalam dunia korporat bilamana sesuatu organisasi perniagaan menghadapi masalah di dalam pentadbirannya atau perniagaannya tidak mencapai prestasi yang diharapkan.

Di dalam kes QSR dan KFCH, keua-dua syarikat adalah merupakan syarikat yang disenaraikan di Bursa Malaysia dan kedua-dua syarikat tersebut telah mencatatkan prestasii yang sangat baik dari segi jualan, keuntungan dan jumlah bilangan outlet sepanjang berada di bawah pengurusan Kulim (M) Bhd. Dengan kata lain QSR dan KFCH bukanlah syarikat yang ‘tenat’ seebaliknya merupakan ‘syarikat lubuk emas JCORP’ dengan jualan kasar mencecah RM 3 bilion setahun.

Adalah menjadi amalan biasa sesebuah syarikat terlibat dengan beberapa jenis perniagaan terutama ianya sangat baik jika dilihat daripada segi pengagihan risiko perniagaan (business risk diversification). Apa yang dilaksana oleh Kulim (M) Bhd. Dengan terlibat dalam sektor perladangan dan perniagaan runcit makanan adalah perkara biasa.

Antara prestasi cemerlang KFCH adalah peningkatan keuntungan kasar dari RM 65 juta (2005 sebelum diambilalih oleh JCORP) kepada RM 222 juta pada tahun 2010 (peningkatan 241%).

Prestasi cemerlang ini juga telah memberikan kepercayaan pemegang francais utama KFC untuk memberikan hak francais KFC di Singapura, Brunei, Combodia, dan India kepada KFC Malaysia.

Kenyataan Ketiga MB


3. CVC dipilih sebagai rakan kongsi JCORP kerana prestasi cemerlang dan pengalaman luasnya menguruskan perniagaan yang sama dan berpengalaman dalam membuat pelaburan di rantau ini.
Ulasan PAS Johor

Kenyataan ini merupakan satu lagi pembohongan Menteri Besar Johor kepada rakyat Johor. CVC adalah syarikat ekuiti persendirian dan perunding pelaburan dan bukannya pengendali rangkaian restoran makanan.
CVC sebenarnya langsung tidak mempunyai pengalaman dalam mengeendalikan perniagaan rangkaian restoran makanan.

Apa yang dirancang oleh MESB adalah untuk kemungkinan membawa masuk Mr. Art Rautio, bekas Timbalan Presiden dan Pengarah Urusan (Managing Director) Yum! Restaurants International berpangkalan di Singapura.

Beliau adalah lulusan Havards Business School, USA dan memiliki 23 tahun pengalaman kerja dengan PepsiCo dan 14 tahun berpengalaman kerja dengan Yum! Restaurants Asia di Singapura.

Yum! Restaurants Asia melalui Yum! Restaurants (India) Pvt. Ltd. Juga mengendalikan rangkaian Restoran KFC di India milik KFCH Malaysia.

Kenyataan Keempat MB


4. Pengambilalihan QSR dan KFCH akan dibiayai kombinasi tunai (ekuiti) dan hutang. Namun hutang yang ditanggung bukan pada JCORP sahaja, tetapi pada syarikat yang akan mengambilalih QSR dan KFCH. Dalam hal ini hutang itu akan disandarkan kepada kekuatan aliran tunai QSR dan KFCH.

Ulasan PAS Johor


Kos keseluruhan pengambialihan adalah RM 5.2 bilion. Kemungkinan apa yang akan dilakukan adalah mmasing-masing pihak (JCORP dan CVC) akan mengeluarkan modal awalan sebanyak RM500 juta bagi membolehkan MESB memiliki modal pusingan RM 1 bilion.

Baki RM 4.2 bilion akan diperoleh dengan membuat pinjaman atas nama QSR dan KFCH bersandarkan kepada kekuatan aliran tunai mereka.

Sebahagian dari hasil pengambilalihan RM 5.2 bilion yang diperoleh akan dimiliki oleh JCORP. Keuntungan ini akan dapat menampung kembali pusingan modal RM 500 juta yang dikeluarkan oleh JCORP.

Benarlah JCORP tidak menambah hutang di peringkat JCORP, sebaliknya menambah hutang di peringkat kumpulan iaitu QSR dan KFCH akan berhutang bagi meembiayai kos pengambilalihan itu.

Dalam kenyataan akhbar kali ini, Tuan Haji Dzulkefly, Timbalan Pesuruhjaya PAS Negeri Johor menyimpulkan bahawa,” PAS Negeri Johor sangat bimbang apabila QSR dan KFCH dibebankan dengan hutang maka sudah tentu akan menjelaskan prestasi dan keuntungan QSR dan KFCH, malah ianya juga akan membantutkan program perkembangan syarikat tersebut pada masa hadapan.”

Tambah beliau lagi, PAS Negeri Johor juga bimbang, selepas pengambilalihan hutang JCORP tidak selesai malah anak syarikatnya QSR dan KFCH pula akan terlibat dengan bebanan hutang.

Turut hadir dalam sidang akhbar ini ialah YDP PAS Johor Bahru dan Ketua Pemuda PAS Johor.

Sidang akhbar bermula kira-kira jam 11.30 pagi dan tamat sekitar 1.00 tengah hari.

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More