Friday, December 30, 2011

Pembahagian Kerusi DAP-PKR Johor Belum Selesai


JOHOR BAHARU, 29 Dis (Bernama) -- Perbincangan mengenai pembahagian kerusi yang akan ditandingi oleh Parti Keadilan Rakyat dan DAP di Johor pada pilihan raya umum ke-13 belum selesai.

Pengerusi PKR Johor Datuk Chua Jui Meng ketika dihubungi Bernama hari ini bagaimanapun menafikan hubungan parti itu dengan DAP, rakannya dalam pakatan pembangkang, berada dalam keadaan tegang berikutan isu pembahagian kerusi antara kedua-dua parti itu.

"Biasalah, dia (DAP Johor) mahukan kerusi saya (PKR Johor) dan saya pula mahukan kerusi dia. Perbincangan masih berjalan, apabila pemimpin pusat membuat keputusan, kita semua kena akur. Itu adalah disiplin parti," katanya.

Bekas menteri kesihatan itu berkata, secara amnya bilangan kerusi yang akan ditandingi oleh PKR Johor pada pilihan raya akan datang ini adalah sama seperti mana pada pilihan raya umum pada 2008.

Satu daripada kerusi yang kini dikatakan menjadi "rebutan" antara PKR dan DAP Johor adalah kerusi Parlimen Gelang Patah yang kini disandang oleh Tan Ah Heng daripada Barisan Nasional (BN).

Pada pilihan raya umum 2008 dan 2004, kerusi itu ditandingi oleh calon PKR, namun kali ini terdapat petanda bahawa DAP mahukan kerusi itu kerana alasan calonnya mempunyai peluang lebih tinggi berbanding PKR untuk merampas kerusi itu daripada BN.

Keyakinan DAP itu adalah bersandarkan kepada faktor bahawa satu daripada kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam kawasan Parlimen Gelang Patah iaitu Skudai kini disandang oleh Pengerusi DAP Johor Dr Boo Cheng Hau.

Dr Boo, menurut DAP Johor, merupakan seorang yang popular dalam kalangan penduduk tempatan dan memiliki rekod perkhidmatan yang cemerlang.

Satu lagi kerusi negeri adalah Nusajaya yang menempatkan pusat pentadbiran kerajaan negeri.

Bagaimanapun, Chua berkata walaupun DAP yakin untuk merampas kerusi itu Patah daripada BN, sokongan rakyat terhadap calon tertentu pada pilihan raya umum merupakan sesuatu yang sukar dibaca.

"Tidak ada orang yang dapat membaca sentimen rakyat pada pilihan raya," katanya sambil menjelaskan bahawa pada ketika ini calon untuk kerusi Parlimen Gelang Patah belum diputuskan oleh kepimpinan pakatan pembangkang pusat.

Ditanya spekulasi bahawa beliau akan bertanding di situ, Chua hanya berkata, beliau juga diperkatakan akan bertanding di beberapa kawasan lain.

Selain Gelang Patah, DAP dan PKR Johor dipercayai turut mahu bertanding bagi kerusi DUN Johor Jaya yang kini disandang oleh Tan Cher Puk daripada MCA.

Pada pilihan raya umum lepas, lawan Tan bagi kerusi itu ialah calon daripada Parti Rakyat Malaysia.

Mengenai peluang pakatan pembangkang di Johor pada pilihan raya umum ke-13 nanti, Chua berkata, mereka mempunyai peluang yang baik untuk mencipta sejarah di Johor dan memenangi sekurang-kurangnya 29 kerusi DUN untuk membentuk kerajaan negeri.

Sumber: BERNAMA

0 comments:

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More